Skip to main content

Pelajar MRSM TAR terima Anugerah Kecemerlangan Akademik UMPSA

PEKAN  13 Januari 2024 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hadir menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak dalam Majlis Graduasi Ke-14 baru-baru ini. 

Ketibaan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie disambut Pengetua MRSM Tun Abdul Razak, Tuan Haji Muhammad Abu Bakar Ismail bersama barışan para guru.  

Pelajar MRSM TAR terima Anugerah Kecemerlangan Akademik UMPSA

Dalam majlis itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie mengucapkan syabas dan tahniah kepada tenaga pengajar yang berjaya menjadi guru insani lantas menjadi pemangkin generasi madani. 

“Saya juga sedar dan yakin bahawa terdapat pelbagai cabaran yang bersifat kompleks pada masa kini perlu dihadapi oleh para pendidik MARA untuk menghasilkan kumpulan pelajar terbaik bagi mendepani cabaran yang kian mencabar,” katanya. 

Menurutnya, MRSM merupakan tapak semaian dalam menghasilkan modal insan bermutu tinggi. 

“Hal ini telah dapat dibuktikan melalui siri kejayaan MRSM dalam mencipta insan-insan yang bukan sahaja berketerampilan dan cemerlang, akan tetapi MRSM juga mampu menjana produknya yang berpengetahuan tinggi serta mampu bersaing dalam menelusuri laluan berliku pada dunia teknologi masa kini. 

“Mudah-mudahan, kejayaan yang dicapai hari ini akan terus dinikmati hasil penyuburan budaya yang positif dalam diri pelajar sepanjang mereka berada dalam sistem pendidikan MARA,” ujarnya.

Pelajar MRSM TAR terima Anugerah Kecemerlangan Akademik UMPSA

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada anak-anak cemerlang yang diraikan dalam majlis gradual ini.

Ujarnya, diharapkan anugerah ini menjadi pemangkin untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak lama lagi. 

Majlis menyaksikan Anugerah Kecemerlangan Akademik UMPSA 2023 tajaan UMPSA diraih pelajar, Muhammad Nabil Anuar dan Nur Aryyana Abdul Shukur. 

Kedua-duanya masing-masing menerima wang tunai RM500, sijil dan trofi.

Dalam pada itu, kedua-dua kampus UMPSA sama ada di Pekan ataupun di Gambang sentiasa terbuka untuk sebarang inisiatif jalinan kerjasama dengan MRSM Tun Abdul Razak terutamanya untuk pembangunan akademik, pembangunan kepimpinan dan pengembangan inovasi pelajar. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit