Skip to main content

Pelajar OKU, pasangan kembar dan adik-beradik antara 1,459 pelajar baharu daftar di UMP

KUANTAN, 13 Oktober 2022 - Pasangan kembar seiras dan adik-beradik mencuri tumpuan di Majlis Amanat Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Sempena Minggu Induksi Siswa 2022 dan Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baharu.

Pasangan kembar Nur Farisha Dayani Abdullah dan Nur Farisha Dayana Abdullah sama-sama menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Bangunan) dengan Kepujian.

Kedua-duanya amat teruja dapat menyambung pengajian yang sama.

Manakala pasangan adik-beradik pula iaitu Nik Ahmad Zaher Nik Hasni pula menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Bangunan) dengan Kepujian dan adiknya Nik Ahmad Idries Nik Hasni pula menyambung pengajian dalam program Asasi Kejuruteraan Awam.

Turut sama pelajar kelainan upaya (OKU) yang mempunyai masalah pendengaran dan menggunakan alatan, Brandon Ting Yi Zhen pula mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Gunaan Kimia Industri dengan Kepujian.
 

Pelajar OKU, pasangan kembar dan adik-beradik antara 1,459 pelajar baharu daftar di UMP

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hadir beramah mesra dengan pelajar baharu di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang.

Menurutnya, UMP telah mewujudkan Unit Perkhidmatan OKU UMP (OkUMP) dengan mewujudkan kampus yang lebih inklusif dan kondusif kepada warga OKU.

“Selain itu, Yayasan UMP turut menyediakan pelbagai bantuan, insentif dan inisiatif untuk membantu pelajar.

“Kita juga mempunyai Biasiswa Sulung Yayasan UMP, khas untuk pelajar B40 yang ahli keluarga mereka belum ada seorang pun yang pernah menjejakkan kaki ke menara gading, Insentif Pendidikan untuk pelajar yang kurang berkemampuan dan Insentif Kecemerlangan Khas kepada pelajar cemerlang yang telah memilih UMP sebagai universiti pilihan utama,” katanya.

Insentif lain ialah Insentif Kecemerlangan, Biasiswa UMP, Bantuan Komputer Riba, UMP Campus Pantry, Bantuan Zakat untuk pelajar Islam, Bantuan Sara Diri untuk pelajar bukan Islam, Bantuan Musibah dan pelbagai lagi.
 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris