Skip to main content

UMP dan BASF PETRONAS metrai kerjasama dalam pertukaran teknologi , pengetahuan dan pembangunan bakat

Pekan, 18 Disember- Sebagai peneraju  bidang kejuruteraan dan teknologi serta kepakaran saintifik yang dimiliki, Universiti Malaysa Pahang (UMP) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd. (BPC) yang merupakan syarikat peneraju bahan kimia terulung di negara ini. 

Usaha ini bakal mengukuhkan hubungan kerjasama dalam pertukaran teknologi dan pembangunan modal insan antara kedua-dua institusi serta meningkatkan kebolehpasaran graduan (GE) berkompetensi.

Kerjasama membabitkan tujuh bidang utama iaitu program pengambilan bakat (BPC’s GROW), program pembangunan akademik, anugerah kecemerlangan industri, penempatan latihan industri untuk staf dan pelajar, program kepimpinan dan pembangunan profesional, perkongsian kepakaran dalam penyelidikan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan berkaitan program inisiatif kelestarian.

Majlis hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMP yang diwakili Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Jamil Ismail manakala pihak BPC diwakili oleh Pengarah Urusan BPC, Dr. Sven Crone dan Pengarah Pengurusan Sumber Manusia, Zairul Alwi telah berlangsung di Dewan Bankuet, UMP Pekan.

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, dengan kepakaran saintifik dan teknologi dalam bidang ini, universiti akan memainkan peranan yang lebih besar terutamanya dalam pertukaran kepakaran, pembangunan penyelidikan, latihan dan jaringan industri.  

“Peluang untuk bekerjasama dengan BPC ini membolehkan universiti mendapat manfaat daripada kepakaran dalam bidang pengetahuan teknikal, pengoptimuman proses dan pembangunan sumber manusia,” katanya.

Selain itu katanya, kerjasama ini melibatkan jalinan kerjasama pembangunan penyelidikan dan perkongsian kemudahan, data, pengetahuan dan kemahiran serta lain-lain sumber untuk manfaat bersama.

Sementara itu, Dr Sven Crone berkata, majlis menandatangani perjanjian persefahaman ini tepat pada masanya dan akan mengukuhkan jaringan kerjasama sedia ada.

“Kolaborasi ini bakal memanfaatkan hubungan baik dengan lebih aktif dan menang-menang antara kedua-dua pihak, BASF PETRONAS Chemicals and UMP. 

Dalam majlis yang sama turut menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan berjumlah RM 10,000.00 bagi Hadiah Kecemerlangan BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd yang disampaikan Dr. Sven Crone kepada Dato Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim untuk pelajar cemerlang setiap kali Majlis Konvokesyen UMP. Turut hadir sama dalam majlis, Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Prof. Zulkafli Hassan.

Hasil kerjasama ini juga bakal merealisasikan hasrat universiti dalam Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan “Memasyarakatkan Teknologi” dengan menggembleng bakat-bakat yang ada di Universiti ini secara strategik bagi memastikan kepakaran teknologinya dapat dibawa ke lapangan bagi manfaat masyarakat di peringkat akar umbi termasuklah Projek Universiti Komuniti (Community University) yang digerakkan secara besar-besaran melalui pengetahuan dan teknologi.

TAGS / KEYWORDS