Skip to main content

Terpahat Dalam Kenangan: UMPSA Menangani COVID-19 (2020-2021): Satu Tinjauan Ringkas

Pada hari ini, negara boleh dikatakan telah mampu menarik nafas lega kerana wabak COVID-19 sudah agak reda walaupun secara amnya ia masih wujud. Tetapi disebabkan rakyat Malaysia telah mengambil langkah perlu seperti mengambil suntikan vaksin dan penjagaan kesihatan, maka kita dapat menjalankan aktiviti seharian seperti biasa. Pengalaman melalui COVID-19 semestinya berbeza antara individu, institusi dan badan-badan tertentu. Sesungguhnya, ia merupakan pengalaman yang sangat berharga kerana ia memberi kita kesempatan untuk merasa dan melalui saat-saat paling getir dalam kehidupan. Yang paling penting adalah bagaimana kita menguruskan kehidupan dengan norma baharu dan dengan pemikiran yang baharu. Persoalannya, bagaimana institusi pendidikan seluruh negara menguruskan operasinya semasa era pandemik ini? Sebagai sebuah universiti yang masih baharu, UMPSA mempunyai cara tersendiri dalam menghadapi pandemik COVID-19. 

Langkah Awal Pelaksanaan PKP

Tarikh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak awal tahun 2020 adalah untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19. PKP berkuat kuasa pada 18 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19. Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sangat terkesan dengan situasi PKP dan melaksanakan pelbagai langkah yang perlu. 

Dalam hal ini, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) banyak membantu universiti dengan menanggung sepenuhnya perbelanjaan penyediaan makanan pelajar di kampus. UMPSA sendiri sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang tempoh PKP dilaksanakan antaranya seperti pengurusan makanan, minuman, kemudahan kesihatan dan keperluan harian pelajar yang turut melibatkan para pelajar yang tinggal di luar kampus. UMPSA juga turut menerima sumbangan pihak luar seperti bekalan makanan dan minuman. Selain itu, UMPSA Campus Pantry juga telah diperkenalkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) yang mengumpulkan keperluan asas dan makanan kering hasil sumbangan program Food Bank Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). 

Terpahat Dalam Kenangan UMPSA Menangani COVID19

Antara langkah awal adalah pengawalan pelajar yang berada di Kolej Kediaman Pelajar. Pengurusan dan pengagihan makanan dilaksanakan secara bersistematik dan mengikut prosedur keselamatan. Para pelajar perlu mengimbas kod yang disediakan bagi tujuan perekodan data, mencuci tangan dengan pensanitasi tangan yang disediakan dan berada pada jarak sosial yang ditetapkan. Dalam situasi ini, kerajaan memutuskan agar pelajar terus kekal berada di lokasi masing-masing sehingga arahan terbaharu dikeluarkan dari semasa ke semasa. 
 
Selain itu, UMPSA juga sangat prihatin dengan keadaan masyarakat di luar sana. UMP Holdings Sdn. Bhd. (UMPH) yang juga merupakan anak syarikat UMPSA turut menghulurkan bantuan dengan menyediakan 1,000 alat pelindung muka (face shield) buat petugas kesihatan dan barisan hadapan yang berjuang membanteras penularan wabak penyakit COVID-19 terutamanya di negeri Pahang. Usaha ini merupakan salah satu bentuk sumbangan khidmat komuniti pihak syarikat dalam meringankan beban para petugas barisan hadapan dalam menghadapi penularan wabak COVID-19.

Apabila pihak kerajaan mengarahkan penutupan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), UMPSA turut menangguhkan semua operasi perkhidmatan dan tiada aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) termasuk dalam talian dilaksanakan sepanjang tempoh PKP bermula18 Mac hingga 14 April 2020. Untuk itu, pihak universiti telah memainkan peranan yang besar bagi menjayakan operasi penghantaran pulang pelajar ke kampung halaman. Pihak UMPSA telah melantik seramai 142 orang Pegawai Perhubungan (Liaison Officer) dalam kalangan staf daripada pelbagai lapisan gred dan jawatan. Dalam tugasan ini, mereka perlu menyediakan laporan mengenai sesuatu penghantaran itu. UMPSA sentiasa memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi. Proses penghantaran pelajar ini merangkumi beberapa fasa yang melibatkan  Zon Timur ke Zon Timur, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Utara, pergerakan ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan Lapangan Terbang Kuala Terengganu. Kecekapan mereka ini telah berjaya dalam memastikan misi penghantaran pulang pelajar IPT Zon Timur berjalan lancar dan mendapat pujian daripada pihak berkuasa. 

Selain pelajar UMPSA, turut terlibat merupakan pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kolej Universiti WIDAD, Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan Institut Pendidikan & Latihan Ranaco, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), Kolej PACIFIC, Kolej SMART, Kolej Ketengah, Politeknik Metro Kuantan, Pahang Skills Development Centre, Universiti Automotif DRB Hicom, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Politeknik Muadzam Shah, Kolej Komuniti Rompin, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub.

UMPSA Menjalankan Operasi Pembersihan

Sebagai langkah pencegahan dan memerangi penularan wabak COVID-19, UMPSA telah melaksanakan operasi pembersihan sanitasi di beberapa lokasi tumpuan dan bangunan di kedua-dua kampus sejak 23 Mac hingga 7 April 2020. Operasi ini bertujuan memastikan persekitaran tempat kerja bersih dan selamat buat warga kerja kembali bertugas sebaik sahaja tamat PKP.   Operasi sanitasi meliputi bangunan pejabat, bilik pensyarah, asrama pelajar, perpustakaan, masjid dan kafeteria secara berperingkat bermula di UMPSA Kampus Gambang dan di UMPSA Pekan pada peringkat seterusnya. Petugas menggunakan semburan kabus disinfeksi di kawasan bangunan dengan lebih tertumpu di tempat berisiko seperti pemegang atau tombol pintu, butang lif, kaunter utama, meja, dan lain-lain lagi bagi memastikan kawasan kampus bebas wabak penyakit COVID-19.

Perubahan Operasi dan Waktu Bekerja Staf

Pelaksanaan PKP telah membuatkan sektor awam dan swasta mengubah corak operasi mereka. Begitu juga UMPSA sentiasa mengambil langkah proaktif agar dapat meneruskan perkhidmatan biarpun berada dalam suasana pandemik. Justeru, UMPSA mula beroperasi dengan kehadiran staf secara berperingkat di setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) bermula 27 Mei 2020 menerusi tiga tatacara kehadiran kerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan. Dalam hal ini, bagi staf yang tidak sihat mereka diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri (self–quarantine) dan tidak dibenarkan sama sekali untuk hadir ke pejabat malahan mereka perlu Bekerja Dari Rumah (BDR) sahaja. 

Terdapat tiga tatacara BDR.
1.    Waktu Bekerja Fleksi (WBF);
2.    Bekerja dari Rumah (BDR); dan
3.    Fleksi BDR.

Keberadaan staf di pejabat amat diperlukan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas. Manakala staf yang dibenarkan BDR perlu mematuhi garis panduan yang disediakan iaitu menyempurnakan tugasan pada masa yang ditetapkan dengan keadaan yang sempurna dan sentiasa bersedia jika diarahkan untuk hadir ke pejabat atau lain-lain lokasi semasa waktu pejabat. Terdapat empat golongan staf yang dipertimbangkan untuk BDR.

1.    Staf yang mempunyai anak berumur kurang dari 12 tahun;
2.    Mempunyai anak orang kelainan upaya (OKU);
3.    Staf yang berumur lebih 55 tahun; dan
4.    Staf yang mempunyai penyakit berisiko tinggi.

Tatacara kerja Fleksi BDR pula merupakan tatacara bekerja penggiliran yang menggabungkan keperluan pelaksanaan tugasan di pejabat dan di rumah secara individu atau berkumpulan. Dua kategori fleksi BDR yang diguna pakai.

1.    Penggiliran Fleksi BDR secara mingguan iaitu staf boleh menjalani WBF untuk beberapa hari seminggu; dan 
2.    Jalani BDR untuk beberapa hari yang lain dalam minggu yang sama.

Staf juga boleh memilih untuk kategori penggiliran  fleksi BDR  secara harian iaitu staf boleh dipertimbangkan untuk bekerja di pejabat minima lima jam pada setiap hari dan baki masa bekerja secara BDR. Bagi kategori ini, staf perlu hadir pejabat mulai jam lapan pagi sehingga sekurang-kurangnya jam satu petang pada setiap hari bekerja  dan pertimbangan BDR adalah selepas jam satu petang. 

Bagi staf yang hadir bekerja di dalam kampus, mereka perlu mematuhi SOP standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menjamin keselamatan dan kesihatan staf terjaga. Manakala bagi urusan pengurusan mesyuarat atau perbincangan dilaksanakan menggunakan kaedah persidangan video dengan menggunakan aplikasi persidangan video bagi menjaga kerahsiaan dan maklumat mesyuarat.

Dalam tempoh ini, penganjuran program rasmi, persidangan, seminar dan bengkel yang melibatkan kehadiran khalayak ramai serta melebihi sepuluh orang adalah tidak dibenarkan sehingga dimaklumkan kerajaan. Walau bagaimanapun, penganjuran boleh dilaksanakan secara maya (video conferencing).

Bagi urusan pengurusan pelanggan, setiap PTJ memastikan penyampaian perkhidmatan yang diberikan adalah bersesuaian dan memudahkan pelanggan untuk berurusan tanpa perlu hadir ke PTJ dan jika terdapat kehadiran pelanggan yang tidak dapat dielakkan, PTJ akan memastikan mereka mematuhi prosedur dan langkah kawalan yang ditetapkan. Pengurusan Tatacara Bekerja Semasa PKPB ini terpakai sehingga kerajaan menarik balik pelaksanaan PKPB dan mengisytiharkan status PKP. Walau bagaimanapun, pihak universiti sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada staf agar mereka boleh mengikuti latihan-latihan menggunakan aplikasi secara dalam talian (online) dan sebagainya bagi meningkatkan kemahiran.  Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) memainkan peranan penting dalam melaksanakan peralihan operasi pengurusan secara digital (e-management) bagi memastikan operasi pentadbiran dan tugasan kerja dapat dilaksanakan oleh warga UMPSA secara dalam talian. 

Terpahat Dalam Kenangan UMPSA Menangani COVID19

Mulai 13 hingga 26 November 2021, UMPSA telah menutup sementara semua operasinya di UMPSA Kampus Gambang bagi membendung penularan wabak COVID-19. Lanjutan daripada pengumuman ini, semua staf universiti di UMPSA Kampus Gambang hendaklah BDR sepenuhnya dan ini tidak termasuk perkhidmatan frontliners (petugas-petugas kesihatan dan bukan kesihatan yang menguruskan pembendungan dan pengawalan wabak COVID-19) seperti urusan kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan, hal ehwal pelajar dan penyelenggaraan kampus. Namun demikian, kehadiran staf ke pejabat ini hanya dibenarkan bagi perkhidmatan perlu dan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dan memerlukan keberadaan di pejabat. Pengumuman ini dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftar dalam pematuhan Pekeliling Pentadbiran Bilangan 11 Tahun 2021. Penutupan Operasi UMPSA Kampus Gambang susulan Penularan Wabak COVID-19 ini hanya melibatkan mengoperasian di UMPSA Kampus Gambang dan operasi di UMPSA Pekan berjalan seperti biasa. Pihak pengurusan universiti memutuskan Pelaksanaan Kawalan Diperketatkan dan Larangan Keluar Masuk Pelajar (KDLKMP) serta-merta dikuatkuasakan di Residen Pelajar dan seluruh kawasan UMPSA Kampus Gambang akan diawasi serta dikawal sepenuhnya oleh Bahagian Keselamatan UMPSA. Bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar yang berada di rumah dan aktiviti PdP untuk pelajar berkeperluan khas (enam kategori) yang berada di dalam kampus pada masa ini diadakan secara dalam talian sepenuhnya.

Aktiviti penyelidikan dan penggunaan makmal juga tidak dibenarkan bagi semua pelajar kecuali dengan kelulusan khas merujuk dekan fakulti masing-masing. Sebarang perubahan ketetapan pelaksanaan akan dimaklumkan oleh pihak JHEPA dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dari semasa ke semasa.

Pelaksanaan Kuliah Dalam Talian

Sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kes penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP, UMPSA mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan e-Learning dengan aplikasi dalam talian dan Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (CIReL) telah mengadakan siri latihan secara dalam talian kepada staf akademik. Dalam hal ini, setiap fakulti telah mengambil tindakan dengan menyediakan bahan dan aktiviti PdP secara dalam talian dengan memilih strategi yang bersesuaian untuk meneruskan keperluan tanpa mengganggu kuliah. Mod ini membabitkan operasi di UMPSA Pekan dan Kampus Gambang. Segala aktiviti bersemuka seperti kuliah, makmal dan penyelidikan dihentikan serta-merta sehingga dimaklumkan. Semua staf akademik melaksanakan kaedah e-Pembelajaran secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran UMP (KALAM). UMPSA turut menangguhkan semua program atau aktiviti membabitkan perhimpunan di dalam dan luar kampus universiti selepas mengambil kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Sejak fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (CIReL) dan Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik (PIDA) menganjurkan beberapa siri Forum Persediaan Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian sebagai persiapan untuk para pensyarah. Ini termasuklah menyediakan bahan-bahan dan aktiviti PdP-DT dan memilih strategi yang bersesuaian untuk meneruskan keperluan pengkuliahan. Pensyarah juga dinasihatkan membuat kaji selidik terhadap capaian Internet dalam kalangan pelajar sebelum sesi PdP-DT berjalan. Kaedah PdP-DT turut memberi pilihan kepada pensyarah untuk mengadakan sesi PdP-DT iaitu secara segerak (synchronous) atau secara tidak segerak (asynchronous) ataupun PdP-DT berasaskan kombinasi di antara segerak dan tidak segerak. Bagi pelajar yang tidak mempunyai kemudahan akses kepada Internet, para pensyarah mengambil inisiatif untuk membuat penghantaran material pembelajaran secara pos kepada para pelajar.

Mahasiswa UMPSA juga tidak ketinggalan bersama kerajaan dan universiti bagi memberi kesedaran tentang ancaman COVID-19. Untuk itu, sekumpulan mahasiswa UMPSA telah menyanyikan semula lagu yang berjudul ‘Kita Jaga Kita’ hasil olahan dari lagu ‘Sakit’ yang popular dan dinyanyikan oleh Zynnakal untuk memberi nasihat kepada rakyat Malaysia dalam berjuang membendung penularan wabak penyakit COVID-19 yang melanda negara di seluruh dunia. Tampil kreatif mahasiswa yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi ini terpanggil untuk mencipta sesuatu ketika menjalani PKP. Berikut ini dipaparkan bait-bait lagu tersebut:

'Kita Jaga Kita'

Ini pesanan untuk semua,
Bukalah hati bukalah mata,
Ini pesanan untuk semua,
Untuk elakkan dari corona.

Wahai kawan-kawan mari kita beri kerjasama,
Bangkit wahai rakyat, marilah jaga Malaysia,
Kita perangi corona janganlah kita terleka,
Kesilapan ini bakal menjadi bahaya.

Bila sorang sakit kena hati-hati,
Sakit dia bukan sakit sendiri,
COVID-19 ini mudah dijangkiti,
Penyakit ini tak mudah untuk dihenti.

Mengerti,
Kita mesti dengar arahan diberi,
Kita mesti hentikan penyakit ini,
Beri kerjasama jangan penting diri.

Oh, perintah kawalan, kawalan pergerakan,
Jadi tolonglah pesan, aku tolong ingatkan,
Duduk saja di rumah, duduk dengan keluarga,
Ataupun kawan-kawan, oh kita jaga kita.

Oh, rajinlah kau kerap cuci tangan,
Ada barang diperlukan,
Biar sorang je dapatkan.

Ini pesanan untuk semua,
Bukalah hati bukalah mata,
Ini pesanan untuk semua,
Untuk elakkan dari corona.

Penyakit ini tumpas pabila kita kerjasama,
Bangkit wahai kawan kita perangi corona,
Polis askar doktor misi semua dah jaga negara,
Just stay at your home guys kita jaga kita.

Oh, virus di serata,
Jangan buat tak tahu,
Jangan kau buat gila,
Semua pun kau sapu.

Dah mayat berterabur,
Kau masih tak mengerti,
Sampai kena sendiri,
Baru nak takut mati.

Biar kau buta mata,
Jangan diminta maut,
Maut tak kenal siapa,
Nanti kau kecut perut.

Biar harta tak mewah,
Asalkan tak merungut,
Diam saja di rumah,
Buat apa yang patut.

Pensyarah UMPSA Cipta Teknologi Berkaitan Virus COVID-19

Penyelidik UMPSA telah menjalankan kajian penjujukan genom (Whole Genome Sequencing of Circulating Covid19 Strains in Malaysia) menemui clade virus bagi penyakit COVID-19 daripada susur-galur berbeza di negara ini. Pasukan ini diketuai oleh penyelidik dan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Dr. Hajar Fauzan Ahmad, 35 yang mempunyai bidang kepakaran dalam penjujukan High-throughput Sequencing, Microbiome and Metabolome daripada University of Copenhagen, Denmark dan menjalankan penyelidikan melibatkan kerja-kerja penjujukan genom virus COVID-19 yang berlegar di Malaysia. Menurut Dr. Hajar, hipotesis awal mendapati virus ini mudah terubah secara mutasi pada susunan jujukan genomnya. Menurut beliau, maklumat ini penting dalam usaha untuk membangunkan kaedah pengesanan diagnostik yang lebih sensitif dan spesifik dan juga mencipta vaksin yang sangat kuat perlindungan terhadap populasi yang bakal dijangkiti.

Selain itu, penyelidik UMPSA juga telah berjaya menghasilkan bahan disinfektan tahap tinggi (HDL), Diaclean Pera Sterilant yang mampu membunuh 99.99 peratus mikroorganisma seperti bakteria, virus, fungus dan protozoa. Ketua penyelidik, Profesor Dato’ Ts. Dr. Zularisam Ab Wahid berkata, produk disinfektan yang mengandungi bahan aktif asid perasetik daripada cuka makanan itu terbukti berkesan selepas diuji di makmal antarabangsa Viroxy Lab. Menurutnya, berdasarkan laporan satu-satunya makmal berakreditasi di Malaysia yang boleh menjalankan ujian virus EN 14476:2013 itu, Diaclean Pera Sterilant mampu membunuh virus koronavirus (COVID-19) pada kadar 99.99 peratus pada semua masa ujian yang dijalankan iaitu 30 saat, satu minit, dua minit, lima minit dan 30 minit. Produk inovasi yang memenuhi standard ISO 13485-International Quality Management System for Medical Device ini juga bebas alkohol dan aldehyde.

Pensyarah UMPSA Cipta Teknologi Berkaitan Virus COVID-19

Sementara itu, pensyarah Pusat Sains Matematik (PSM) UMPSA, Profesor Madya Dr. Norhayati Rosli, telah menghasilkan Pandemic Preparedness Simulation Tool agar negara boleh bersiap sedia dengan kemungkinan ketidakcukupan fasiliti kesihatan awam disebabkan pandemik terutamanya penggunaan katil dan peralatan ICU. Penyelidikan ini adalah berkaitan dengan pemodelan pandemik COVID-19 menggunakan model stokastik bagi meramal kes-kes aktif pesakit COVID-19 mengikut tiga kategori iaitu pesakit yang mempunyai gejala ringan, gejala yang memerlukan alat bantuan pernafasan dan gejala yang memerlukan alat bantuan pernafasan dan dirawat di ICU. Beliau berharap penyelidikan yang dilakukan ini akan dapat membantu negara dalam berdepan dengan wabak penyakit berjangkit seperti COVID-19.

Pensyarah Fakulti Komputeran (FK) UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Mazlina Abdul Majid diumumkan pemenang dengan meraih pingat emas dan anugerah khas bagi kategori Turkish Inventors and Innovators Network Award menerusi hasil penyelidikannya yang bertajuk PISAH COVID Patient Tracking System at Home. Penyelidikan ini juga telah diterima dan dilihat sebagai satu sumbangan yang besar dalam menangani isu penyebaran virus COVID-19. 

Dr. Diyana Kamarudin dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) juga telah berjaya meraih pingat emas dan memenangi anugerah khas bagi kategori National STEM Association Award dan Euro Business-Haller Award menerusi penyelidikannya yang bertajuk Hear Me Assistive Technology for The Deaf and Hearing-Impaired During Pandemic. Satu lagi pingat emas dan anugerah khas turut dimenangi Ts. Dr. Norazaliza Mohd Jamil dari PSM UMPSA bagi kategori Malaysian Association of Creativity and Innovation Award menerusi penyelidikan yang bertajuk A GUI Simulation Tool for Pandemic Outbreaks. Manakala pingat gangsa pula telah dimenangi oleh Ts. Dr. Roshahliza M Ramli dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UMPSA dengan penyelidikan yang bertajuk SMART Unmanned Ground Vehicle (UGV) for COVID-19 Waste Management.

Empat pensyarah UMPSA itu menempa kejayaan dengan meraih anugerah khas, tiga pingat emas dan satu pingat perak dalam pertandingan Malaysia Technology Expo (MTE) Edisi Khas COVID-19 yang berlangsung secara maya pada 14 hingga 18 Jun 2021. Walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19, ia bukan halangan buat para pensyarah UMPSA untuk berkongsi hasil penyelidikan dalam merealisasikan agenda memasyarakatkan teknologi menerusi ciptaan hasil penyelidikan.

Semangat ingin membantu para petugas kesihatan yang berdepan kekurangan bekalan peralatan alat pelindung diri (PPE), telah memberikan inspirasi buat tiga pensyarah UMPSA berganding bahu mengambil inisiatif sendiri mencipta dan menghasilkan pelindung muka bagi membantu petugas barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19 yang sedang menular di negara ketika ini. Dalam hal ini, Dr. Zamzuri Hamedon, Dr. Ismayuzri Ishak dan Khairul Fikri Muhammad daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) UMPSA berkongsi idea dan akhirnya berjaya menghasilkan pelindung muka  ringkas, ringan, kos yang murah dan sesuai digunakan. Pelindung muka melalui teknologi percetakan tiga dimensi (3D) yang dikenali sebagai Reusable DIY Face Shield (RDF) ini terdiri daripada headband, getah gelang dan plastik transparent bersaiz A4 yang mudah diperoleh.  Pelindung muka RDF lebih ringan, saiz yang kecil selesa dipakai dan tidak panas disebabkan bahagian atas terbuka. Namun apa yang lebih penting ianya mudah dipakai dan menjimatkan kerana ia boleh diulang guna. Malahan plastik yang menutup di bahagian muka ini juga boleh diganti semula dengan plastik yang ada dijual di kedai-kedai.

UMPSA Menganjurkan Bicara Merdeka

UMPSA Menganjurkan Bicara Merdeka ‘Hikmah di Sebalik COVID-19, Merdekakah kita?’

Perasaan sedih pilu tentunya menyelubungi setiap individu yang kehilangan orang yang disayangi akibat gugur dalam perjuangan menentang ancaman COVID-19. Dalam hal ini, beberapa orang staf UMPSA juga telah menerima ujian berat COVID-19 apabila ada dalam kalangan ahli keluarga dan diri mereka sendiri telah dijangkiti oleh virus ini. Untuk itu UMPSA telah menganjurkan bicara merdeka dengan mengumpul staf-staf yang terlibat bagi berkongsi kesedihan mereka untuk renungan warga UMPSA yang lain. Antaranya ialah Eksekutif Kanan, Jabatan Pembangunan Graduan (JPG), Halizan Mahmood, telah kehilangan ayah tersayang akibat dijangkiti COVID-19 amat memberikan kesan yang mendalam buat beliau dan keluarga. Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Nor Asikin Salleh turut dijangkiti COVID-19 bersama anaknya yang berusia setahun lima bulan. Ketua Unit Audit Dalam, Mohd Akram Abdul Razak pula menceritakan pengalamannya sepanjang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) amat berharga dan banyak memberi hikmah kepadanya. Beliau merupakan salah seorang daripada 1,200 orang pesakit COVID-19 yang ditempatkan di PKRC Gambang. Timbalan Dekan, Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff turut berkongsi pengalaman beliau sekeluarga yang turut dijangkiti COVID-19. Cabaran paling besar apabila beliau dan isteri ditempatkan di lokasi PKRC yang berbeza. Program yang dijalankan hampir dua jam secara dalam talian itu telah disiarkan di Facebook UMP Malaysia dengan dihadiri seramai 300 orang.

Pelajar Baharu UMP Daftar Masuk Asrama Secara Pandu Lalu

Pada 8 Ogos 2020, UMPSA telah menerima seramai 822 pelajar baharu program Diploma bagi sesi akademik 2020/2021 yang mendaftar asrama secara pandu lalu. Kaedah ini dilaksanakan bertujuan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 sekali gus mematuhi tatacara pengendalian piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Secara amnya, pendaftaran pelajar baharu Program Diploma Sesi Akademik 2020/2021 telah dibuat sepenuhnya secara dalam talian pada 20 hingga 25 Julai 2020 dan ibu bapa hanya perlu menghantar pelajar di pintu masuk dan hanya pelajar sahaja yang dibenarkan untuk memasuki kawasan asrama. Hari Suai Kenal yang membabitkan pelajar baharu diadakan secara dalam talian pada 2 Ogos 2020 yang disiarkan menerusi aplikasi Zoom dan FB UMP Malaysia. 

UMPSA Beri Sokongan Psikologi Urus Kerisauan Staf dan Pelajar

UMPSA Beri Sokongan Psikologi Urus Kerisauan Staf dan Pelajar

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri mulai 18 Mac sehingga dilanjutkan 14 April 2020  pastinya menimbulkan kerisauan bukan sahaja terhadap ancaman penularan wabak COVID-19 malahan kesan PKP yang secara tidak langsung mengubah rutin kehidupan seharian staf dan pelajar. Bagi Pegawai Psikologi Kanan, Hajah Paridah Mohd Ali yang juga Ketua Bahagian Kaunseling dan Psikologi JHEPA berkata, cabaran terbesar bagi kaunselor di universiti adalah untuk menangani permasalahan pelajar yang ingin mendapatkan sesi kaunseling. Meskipun mereka berada di Kolej Kediaman atau di kampung halaman, para kaunselor sentiasa bersedia membantu memberikan khidmat kaunseling. Sepanjang tempoh PKP ini, para kaunselor memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial  dan  mesej segera seperti WhatsApp serta komunikasi video Skype dalam membantu menguruskan permasalahan pelajar yang ingin mendapatkan khidmat kaunseling. Pelajar juga boleh menggunakan sistem e-kaunseling di laman portal UMPSA yang mana para pelajar boleh membuat temu janji bersama kaunselor bagi mengajukan sebarang pertanyaan atau permasalahan. Antara khidmat kaunseling yang diajukan pelajar  sepanjang PKP ini adalah  berkaitan akademik, rindu keluarga di kampung dan kerisauan takut dijangkiti. Pihaknya sentiasa memberi nasihat dan sokongan buat pelajar agar sentiasa tenang, positif dan mendapatkan informasi yang tepat.  

COVID-19, UMPSA Cipta Sejarah Anjur Tiga Majlis Konvokesyen 

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada awal tahun 2020 cukup memberi kesan terhadap institusi pendidikan tinggi termasuklah UMPSA. Penganjuran tiga Majlis Konvokesyen (MKK), UMPSA pada tahun 2022 berikutan pandemik bermula tahun 2020. Ia mencatat sejarah apabila seramai 12,124 orang graduan UMPSA diraikan kerana tiada majlis konvokesyen dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021. Dalam hal ini, graduan bagi tahun 2020 dan 2021 hanya menerima Dokumen Penganugerahan secara permohonan pos. Oleh itu, pada tahun 2022, UMPSA meraikan seramai 3,556 orang graduan 2020 pada 17 hingga 20 Mac 2022 dengan pematuhan SOP dalam MKK15 yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. Bagi MKK16, UMP meraikan seramai 4,034 orang graduan tahun 2021 pada 6 hingga 9 Ogos 2022 di Kompleks Sukan UMP Gambang. Manakala bagi MKK17, UMPSA meraikan seramai 4,534 orang graduan tahun 2022 yang telah diadakan pada 5 hingga 8 November 2022 di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang.

Sememangnya, pengalaman UMPSA melalui pandemik COVID-19 merupakan kenangan yang sangat berharga kerana pihak universiti dilihat mampu menangani perkara atau bencana yang kedatangannya tidak disangka oleh sesiapapun. Kebijaksanaan pihak pentadbir dan sokongan daripada kalangan staf dan pelajar menjadikan usaha UMPSA mengekang dan menangani jangkitan COVID-19 dapat berjalan lancar. Di samping menangani musibah, UMPSA juga telah berjaya mencipta teknologi khas untuk menangani COVID-19. Ini secara tidak langsung membantu menaikkan nama UMPSA sebagai salah satu institusi pengajian tinggi yang tidak kurang hebatnya dalam membantu menaikkan peradaban Malaysia di Pantai Timur. 

Dr. Hasnah Binti Hussiin
Dr. Hasnah Binti Hussiin 

Penulis ialah pensyarah kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News