Skip to main content

Manfaatkan platform e-dagang bagi meningkatkan keusahawanan mahasiswa dan alumni

PAYA BESAR, 18 November 2021 – Peluang buat mahasiswa dan alumni untuk berjaya dalam bidang keusahawanan amat luas dan lebih cerah berbanding 20 tahun lalu dengan adanya perkembangan pesat teknologi digital masa kini.  

Dengan era digital ini, platform e-dagang dapat membantu usahawan untuk memasarkan produk bukan sahaja di pasaran setempat malah hingga seluruh dunia.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Syarikat KRU, Dato' Norman Abdul Halim, untuk menjadi usahawan dalam era ini perlu sentiasa berfikir di luar kotak dan mengikut perkembangan teknologi agar tidak ketinggalan.

“Malahan, dengan era digital atau platform e-dagang dapat membantu usahawan untuk memasarkan produk bukan sahaja di peringkat tempatan malah hingga ke seluruh dunia.

“Penggunaan teknologi terkini banyak membantu dalam memudahkan aktiviti perniagaan bagi setiap usahawan. 

“Sebolehnya, pada peringkat awal seorang usahawan perlu fokus pada satu perniagaan dahulu, beri tumpuan dan fokus pada perniagaan tersebut,” ujarnya. 

Katanya lagi, cabaran utama dalam dunia keusahawanan adalah dalam mempromosikan dan memperkenalkan produk.

“Manakala testimoni dari pelanggan amat penting dalam kejayaan sebuah perniagaan,” ujarnya ketika menjayakan program Webinar Keusahawanan@Makmum Siri 3: Membina Empayar Perniagaan Di Era Digital dan Covid 19.

Beliau banyak berkongsi pengalamannya hampir 30 tahun dalam industri kreatif dan bidang berkaitan di syarikat KRU.

Baginya budaya keusahawanan ini boleh diterapkan dari usia muda, malah untuk menjadi seorang usahawan perlu mempunyai jiwa yang kental, berani dan sentiasa bersedia mendepani situasi yang bakal berlaku.

Beliau juga turut mengalukan-alukan graduan dan alumni untuk bersama-sama menyertai Program Rise-up untuk bagi menyokong ekonomi Pendigitalan di Malaysia Pascapandemik Covid-19 sejajar dengan kemakmuran bersama,

Kini, Yayasan KRU telah ditubuhkan bagi membantu belia golongan B40 dengan mengikuti latihan yang berteraskan kemahiran, keusahawanan digital dan industri kreatif.

Hampir 300 peserta yang terdiri daripada pelajar keusahawanan membabitkan empat universiti di pantai Timur menyertai program secara dalam talian itu. 

Hadir sama dalam program lebih dua jam itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Dalam ucapannya, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah atas kerjasama dengan Pusat Keusahawanan UMP dan komitmen universiti di pantai Timur dalam menjayakan program ini.

Ujarnya, webinar ini merupakan salah satu platform untuk berkongsi berkenaan dunia keusahawanan pada masa kini dan cabaran-cabaran yang dihadapi lebih-lebih lagi dalam era digital dan Covid-19.

“Semoga webinar ini akan memberi manfaat dan menjadi inspirasi kepada usahawan serta mengeratkan lagi kerjasama di antara kita,” katanya. 

Program itu dikendalikan oleh pelajar pascasiswazah, Mohd Syazwan Nizam Mohd Moni yang sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Awam. 

Beliau yang bertindak sebagai moderator juga merupakan pengasas syarikat Bangsawan Pictures.

Turut sama dalam program, Penolong Naib Canselor Jabatan Pembangunan Graduan, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, Pengarah Pusat Keusahawanan UMP, Dr. Mohd Nizar Mhd Razali dan Pengarah Pusat Keusahawanan daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris