Skip to main content

UMP, SME Corp. Malaysia jalin kerjasama Program TUBE@IPT lahirkan graduan usahawan

PUTRAJAYA, 30 September 2021 - Bidang keusahawanan kini bakal menjadi salah satu kerjaya pilihan buat graduan apabila termeterainya kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan SME Corp. Malaysia (SME Corp) menerusi pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)@IPT 8.0 yang dilancarkan baru-baru ini. 

Program rintis ini merupakan kerjasama strategik antara antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam melahirkan usahawan graduan bertepatan pada masanya tatkala keadaan ekonomi negara yang semakin mencabar semasa pandemik Covid-19 ini.

Menerusi program ini juga, graduan dan siswazah akan diberi pendedahan serta mempelajari langkah yang diperlukan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. 

UMP, SME Corp. Malaysia jalin kerjasama Program TUBE@IPT lahirkan graduan usahawan

Kerjasama itu dilihat akan dapat menggalakkan pemikiran kreatif dalam kalangan graduan dan siswazah, termasuk memberikan pendedahan kepada dunia perniagaan yang sebenar.

Hadir menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dengan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman bersempena Majlis Perasmian TUBE 8.0 dan MoU TUBE@IPT

Program dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Turut hadir Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al-Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy. 

Selain UMP, ia turut melibatkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Dalam ucapannya, Tan Sri Noh berkata, di bawah program TUBE 8.0 ini pihaknya menyasar untuk menjadikan 600 peserta termasuk 160 graduan universiti sebagai usahawan membabitkan peruntukan dana sebanyak RM9 juta merangkumi geran kepada setiap peserta mencecah RM15,000. 

“Ia juga akan dibantu dengan sokongan agensi lain termasuklah di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Bank Rakyat Malaysia Berhad dan lain-lain dalam memberikan bantuan pinjaman.

“Jawatankuasa pemantau akan ditubuhkan untuk memastikan segala bantuan disalurkan dengan mudah terutamanya dalam meringankan beban usahawan. 

“Bermula dengan 15 ribu ringgit, dijangkakan dengan tambahan peruntukan kerajaan pada masa akan datang, lebih ramai usahawan dapat dilahirkan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, program ini akan melatih seramai 160 graduan bumiputera daripada lapan buah IPT. 

“Peserta program ini akan diberikan latihan kemahiran keusahawanan mencakupi bidang pengurusan; kewangan; pemasaran digital; termasuk penyediaan Biss Counselor yang memberikan khidmat nasihat pakar berkaitan perniagaan.

“Di samping itu juga, seramai 32 warga IPT akan turut diberikan latihan berbentuk Training of Trainers (TOT) untuk menjadi Biss Counselor.

“Saya percaya melalui sinergi yang terbentuk, program-program ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, pantas, pada kos yang minimum dan yang lebih penting, memberikan capahan impak lebih besar kepada graduan.

“Program ini diharapkan dapat diperluaskan kepada IPT lain pada masa akan datang,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada pihak MEDAC dan SME Corp. Malaysia dalam menjayakan usaha ini. 

Beliau yakin program ini akan dapat melahirkan usahawan muda yang lebih berdaya maju dan berdaya tahan tinggi di pasaran yang kompetitif. 

Diharapkan kerjasama antara kementerian, MEDAC, SME Corp. Malaysia dan IPT ini dapat meringankan beban kewangan usahawan pelajar dan graduan.

Dalam pada itu, menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, graduan dan siswazah universiti perlu memanfaatkan peluang ini terutamanya dalam mendepani keadaan ekonomi yang tidak menentu kesan daripada pandemik Covid-19.

“Bidang keusahawanan ini bukan sahaja berpotensi besar dalam menawarkan penjanaan pendapatan, bahkan mereka turut boleh menawarkan pekerjaan kepada individu lain atau menjadi job creator sekiranya perniagaan berjaya,

“Di peringkat universiti, seramai 20 peserta terpilih bakal mengikuti program dan seterusnya mereka akan dibimbing dan dipantau selama tempoh 12 bulan. 

“Istimewanya program ini, sebanyak RM15,000 geran disediakan kepada setiap peserta untuk mereka bagi memulakan perniagaan,” katanya. 

Program bakal diselaraskan oleh Pusat Keusahawanan UMP dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Graduan.

Sehingga kini, pelbagai kerjasama dilaksanakan pihak KPT melibatkan beberapa agensi di bawah MEDAC seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi melaksanakan program Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi dan program IProCom yang melatih dan membimbing usahawan pelajar dari peringkat pembangunan produk hingga ke pengkomersialan. 

Selain itu, KPT juga turut berkolaborasi dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi melaksanakan program keusahawanan sosial seperti University to Community demi kelestarian keusahawanan negara.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit