Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama dengan MACEE bagi program Fulbright Malaysia

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) jalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) dalam usaha mengukuhkan persefahaman dan menggalakkan pertukaran pendidikan antara kedua-dua negara.
 
MACEE telah memainkan peranan penting dalam melaksana dan menyelaras pelbagai projek pendidikan tinggi terutamanya pertukaran pelajar antara kedua-dua negara di bawah program Fulbright Malaysia.
 
Selain peluang mengikuti pengajian di universiti tersohor, program ini turut memberi manfaat dalam menimba pelbagai pengalaman baharu melibatkan program kebudayaan, jaringan kepakaran dan jalinan strategik.
 
Dalam majlis itu, Naib Canselor  UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Pengarah Eksekutif MACEE,  Curtis Johnson. 

UMPSA jalin kerjasama dengan MACEE bagi program Fulbright Malaysia

 
Hadir menyaksikan acara pertukaran dokumen, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar  dan Pegawai Diplomasi Awam, Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia, Nurit Einik.
 
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMPSA  akan terus meneroka peluang kerjasama  bagi menjayakan hasrat murni kedua-dua negara dalam usaha mengukuhkan kesefahaman dan meningkatkan bilangan pertukaran pelajar setiap tahun mendatang demi kemajuan serta pembangunan masyarakat. 
 
“Program Fulbright ini bakal mewujudkan peluang pendidikan sekali gus memberi manfaat kepada pelajar dan ahli akademik antara Malaysia dan Amerika Syarikat. 

“Kerjasama ini juga akan memperkukuh hubungan dan pertukaran  pendidikan dan budaya di antara kedua-dua buah negara,” katanya.

UMPSA jalin kerjasama dengan MACEE bagi program Fulbright Malaysia

Turut bertukar dokumen  MoU termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP). 

Lain-lain Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Multimedia, Universiti UCSI, Universiti Nilai, Universiti Antarabangsa INTI dan Kolej Universiti Southern.
 
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit