Skip to main content

UMPSA, Omron Electronics (M) Sdn. Bhd. kukuhkan kerjasama lahirkan pelajar kompeten

PUTRAJAYA, 20 Februari 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Omron Electronics (M) Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan bagi melahirkan pelajar-pelajar yang kompeten.

Majlis tersebut telah berlangsung di Zenith Hotel, Putrajaya. 

Majlis menyaksikan UMPSA diwakili oleh Penolong Naib Canselor (Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat) UMPSA, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal dan Pengarah Pusat TVET Termaju. Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani. 

Manakala pihak Omron pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Lee Kok Soong, Pengurus Jualan, Alvin Choi Kwok Weh, dan Pengurus Akaun OMRON, Sharizal Ahmad.

Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Pusat TVET Termaju UMPSA yang berjaya menubuhkan Pusat Latihan Bertauliah bersama Syarikat Omron. 

 UMPSA, Omron Electronics (M) Sdn. Bhd. kukuhkan kerjasama lahirkan pelajar kompeten

“Pemilihan syarikat Omron Sdn. Bhd. adalah berdasarkan keyakinan UMPSA terhadap kepakaran dan teknologi yang dimiliki dalam bidang Automasi, Penderia, Kawalan Robotik dan Revolusi Industri 4.0.

“Pusat Latihan ini memfokuskan kepada penawaran latihan-latihan dalam bidang Automasi dan Robotik. 

“Selain itu, kerjasama ini bakal mengoptimumkan kegunaan peralatan sedia ada di UMPSA kerana makmal di UMPSA telah sekian lama menggunakan peralatan dari jenama Omronseperti Programmable Logic Controller (PLC),” ujarnya. 

Beliau berharap agar persijilan Omron sudah pasti memberi nilai tambah kepada pelajar dan dapat menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran pelajar. 

“Dalam melaksanakan kursus ini, seramai 12 orang tenaga pengajar yang bertauliah daripada Pusat TVET Termaju dan FTKEE akan menawarkan kursus-kursus kompetensi kepada pelajar-pelajar bermula tahun ini,” katanya. 

Manakala Pengarah Urusan Omron, Lee Kok Soong pula  berkata, kerjasama bersama UMPSA ini merupakan salah satu usaha syarikat di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk universiti dan masyarakat. 

“OMRON Sdn. Bhd. mempunyai kepakaran dan teknologi dalam bidang automasi, penderia, kawalan, robotik dan Revolusi Industri 4.0 di mana ini dapat membantu UMPSA dalam memberikan nilai tambah kepada mahasiswa UMPSA.

“OMRON bersedia membantu UMPSA dalam menubuhkan makmal yang mempunyai peralatan yang majoritinya adalah buatan Malaysia,” katanya.

 UMPSA, Omron Electronics (M) Sdn. Bhd. kukuhkan kerjasama lahirkan pelajar kompeten

Melalui kerjasama ini juga, pelbagai program lain turut boleh diadakan seperti Train the Trainer (TTT), membangunkan modul latihan yang releven dengan kehendak semasa, penempatan bagi pelajar untuk menjalani latihan industri di OMRON dan sesi perkongsian ilmu antara kedua-dua belah pihak.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris