Skip to main content

CITREX UMP pamer 279 produk inovasi pelajar dan penyelidik

GAMBANG, 14 Mac 2023 - Pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX), Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2023 penganjuran kali ke-13 menyaksikan seramai 84 pemenang pingat emas, 146 pemenang pingat perak dan 36 pemenang pingat gangsa yang membabitkan sebanyak 279 penyertaan daripada kategori staf, pelajar IPT dan pelajar sekolah. 
 
Hadir merasmikan program Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Turut sama hadir Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal Jamlos dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli. 
 
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, program CITREX yang masuk kali ke-13 penganjuran ini membuktikan kesungguhan UMP dalam memaknakan kewujudannya sebagai sebuah Universiti Awam (UA) yang mengambil serius dalam melahirkan kumpulan penyelidik yang hebat. 
 
“Ia juga sebagai medium penghasilan dan pengumpulan karya-karya yang dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat sejagat selaras dengan slogan UMP iaitu “Teknologi untuk Masyarakat.
 
“UMP berharap dapat melahirkan produk dan penyelidik yang berdaya saing serta berkualiti yang mampu dipertandingkan di peringkat lebih tinggi,” katanya.  
 
Selain staf dan pelajar UMP, penyertaan turut melibatkan staf dan pelajar daripada IPTA dan  IPTS seluruh Malaysia dan antaranya adalah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi MARA  (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Politeknik, Tunku Abdul Rahman Universiti dan lain–lain. 
 
CITREX kali ini masih mengekalkan penjurian melibatkan barisan juri dalam kalangan industri, agensi kerajaan dan akademia luar. 
 
Antara industri yang hadir adalah Kaneka, Cybersecurity Malaysia, Sime Darby, MRANTI, MTDC, SIRIM, YP Plantation Holdings, Perodua, Indah Water Konsortium, MARDI, Mercedes Benz, Hicom Automotive dan MZR Global Sdn. Bhd. 

Lain-lain Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. 

CITREX UMP pamer 279 produk inovasi  pelajar dan penyelidik

Dalam program ini menyaksikan Anugerah Best of the Best kategori staf dimenangi Dr. Hajar Fauzan Ahmad dengan projek bertajuk ‘Triumph Medico: Next -Generation Diagno’ dan Best of the Best kategori pelajar pula dimenangi Mohd Akid Shazri Mohd Shapari dengan tajuk projek ‘Agronetics Data Monitoring Device’. 

CITREX UMP pamer 279 produk inovasi  pelajar dan penyelidik

Turut berlangsung Innovative Idea Pitching Competition 2023 yang merupakan platform kepada penyelidik universiti dalam persediaan mempromosikan penemuan, inovasi dan hasil penyelidikan mereka khususnya kepada bakal pelabur serta pemain industri. 
 
Dalam memperkenalkan idea, pengkomersialan universiti juga dapat diketengahkan selaras dengan iltizam universiti untuk meningkatkan kualiti akademik, pembangunan penyelidikan serta perkhidmatan. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit