Skip to main content

Mohamad Mohsin perintis Syarikat Permula Siswa UMPSA

GAMBANG, 13 Mac 2024 - Pelajar tahun 4, Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian, Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Mohamad Mohsin Ismail menjadi perintis bagi Syarikat Permula Siswa dengan melibatkan diri dalam perniagaan berfokuskan teknologi maklumat. 

Anak kelahiran Kelantan yang merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik itu memulakan perniagaan pada tahun 2021 dengan menubuhkan Syarikat Mahiran Digital Sdn. Bhd. yang beralamat di Shah Alam, Selangor.

Syarikat ini memfokuskan kepada perniagaan dalam bidang pembangunan perisian sama ada aplikasi desktop, aplikasi sesawang, dan aplikasi mudah alih. 

Mohamad Mohsin perintis Syarikat Permula Siswa UMPSA

Di samping itu juga, ia turut menyediakan perkhidmatan untuk menyelenggara sistem sedia ada, perundingan berkaitan teknologi maklumat, dan latihan dalam pembangunan perisian. 

Minat yang mendalam terhadap bidang animasi dan permodelan 3D sejak di bangku sekolah rendah kerana terpesona dengan keindahan animasi 3D yang disaksikan sewaktu kecil telah memupuk minat Mohsin untuk mula belajar tentang cara membuat animasi 3D milik beliau sendiri menggunakan perisian seperti Blender, Sketchup dan Muvizu. 

Perkenalan di sekolah menengah dengan beberapa rakan sebaya yang mempunyai minat serupa dalam bidang animasi merupakan langkah pertama untuk beliau bersama dengan rakan-rakan untuk mencuba membuka syarikat dan menghasilkan animasi mereka sendiri. 

Namun, kerana kesibukan dan tuntutan sebagai calon SPM beliau dan rakan-rakan kesulitan untuk mengejar impian mereka dan terpaksa membatalkan perancangan tersebut. 

Meskipun terpaksa melepaskan seketika impian untuk menghasilkan animasi sendiri, minat beliau dalam bidang animasi tidak terhenti di situ malah makin berkembang kepada minat baharu dalam teknologi maklumat seperti pembangunan laman web dan pembangunan aplikasi mudah alih. 

Menyelusuri kembali memori semasa beliau di sekolah rendah, beliau kerap bermain satu permainan di laman sesawang Facebook iaitu YoWorld. 

Melalui permainan ini, beliau telah belajar tentang jual beli dan cara mengumpulkan sejumlah wang yang mencukupi untuk membeli beberapa rumah dan aset seperti kereta dan perabot rumah tangga dan dapat menghias tempat yang telah dibeli dalam permainan ini. 

Mohamad Mohsin perintis Syarikat Permula Siswa UMPSA

Permainan YoWorld ini menjadi satu-satunya permainan Facebook yang beliau mainkan dalam jangka masa yang panjang kerana beliau merasai pengalaman mengumpul wang dan berbelanja serta dapat berkomunikasi dengan pemain dari pelbagai negara di seluruh dunia melalui permainan tersebut. 

Setelah menamatkan zaman persekolahan, beliau bertanya kembali kepada dirinya sendiri.

“Saya kaya dalam permainan ini, tetapi apa manfaatnya dalam kehidupan sebenar saya? Saya kaya di dalam permainan tetapi hakikat sebenar saya tidak mempunyai apa-apa di dunia sebenar”. 

Tanggapan ini telah menyuntik semangat beliau untuk berusaha mencari cara untuk menjana pendapatan. 

Berpaksikan keinginan yang mendalam untuk menjana pendapatan sendiri seawal lepasan SPM, beliau telah berjaya menceburi dalam bidang perniagaan dengan menjual balik barangan dari pembekal kasut kepada pengguna akhir. 

Jualan beliau terus meningkat dari bulan ke bulan sehingga beliau mampu membeli sebuah telefon bimbit untuk memudahkan lagi urusan perniagaannya. 

Tidak lupa akan jasa ibu bapa yang telah membesarkan beliau sejak kecil, dihadiahkan sebuah mesin basuh untuk memudahkan ibu beliau membasuh pakaian, telefon bimbit dan mengeluarkan wang belanja yang pada beliau masih belum mampu untuk membalas segala pengorbanan ibu bapanya. 

Beliau juga berjaya menampung perbelanjaan sewaktu belajar di peringkat diploma dengan wang hasil perniagaan beliau, selain daripada duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

Melalui pengalaman jual beli di Shopee juga telah membuahkan minat untuk menceburi bidang perniagaan. 

Tambahan pula, beliau telah memasang niat untuk membantu ibu dan ayah secepat mungkin dan bukan selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah. 

Beliau menyedari bahawa ibu bapanya semakin berusia dan ayah beliau hampir mencapai usia persaraan. 

Beliau berharap untuk menjadi anak yang tidak membebankan ibu bapa dan memberi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Beliau amat bersyukur kerana bermula dari minat sejak kecil, seterusnya usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa, serta peluang yang tidak pernah beliau ambil remeh dan tawakal kepada Allah atas apa yang telah diberikan-Nya, kini telah menampakkan hasil. 

Antaran kejayaan yang pernah beliau kecapi adalah Anugerah Tokoh Mercu Sanjung 2022 di Majlis Malam Anugerah Mercu Sanjung 2022 UMPSA dan  berjaya ke peringkat akhir bagi Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi 2023 bagi kategori Anugerah Perusahaan Pelajar Terbaik. 

Katanya, beliau amat berterima kasih kepada dua orang pensyarah yang merupakan mentor beliau iaitu Ts. Dr. Wan Isni Sofiah Wan Din dan Ts. Dr. Azlee Abidi kerana telah membantu beliau memulakan syarikat permula siswa ini pada peringkat awal melalui geran penyelidikan pensyarah. 

“Tidak lupa juga kepada staf yang telah banyak memberikan semangat dan menyokong saya dari awal perniagaan sampai sekarang iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Awanis Romli, Dr. Mohd Zamri Osman, Ts. Dr. Nor Saradatul Akmar, Ts. Dr. Noorhuzaimi@Karimah, Profesor Madya Ts. Dr. Ferda Ernawan, dan juga Dekan Fakulti Komputeran UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar dan Halizan Mohmood.

“Selain itu, ucapan terima kasih kepada rakan-rakan yang sentiasa bersama dari awal iaitu Izzat Rizal, Ahmad Hisyam, Khairin Chan, Aslam, Hakim, Farah, Aina, dan rakan-rakan seperjuangan yang lain,” ujarnya. 

Syarikat Mahiran Digital telah pun berjaya mendapat kepercayaan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan mereka dan sepanjang ditubuhkan telah berjaya mendapat projek perniagaan yang keseluruhan bernilai RM350,000.00.  

Disediakan Oleh: Amira Wayhida Izzati Mohamad Amin dan Halizan Mohmood, Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif  (PUPUK)

Reports by:
Admin UMP News